Kenapa bayi menangis malam?
Kenapa bayi menangis ketika menyusu? Lebih-lebih lagi bila menjelang waktu
Maghrib. Tentu ramai yang melalui pengalaman ini, sibuk membaca doa untuk
menjauhkan diri dari syaitan. Bagi ibu muda, ini mungkin merungsingkan. Mari
kita rungkaikan apa sebenarnya yang bayi mahu.
Menangis bagi seorang bayi
adalah normal. Bayi akan menangis tanpa mengira masa dan tempat. Disebabkan
bayi masih kecil dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa untuk dirinya, bayi
hanya bergantung kepada orang lain untuk memahami akan dirinya. Menangis adalah
cara bagi seorang bayi memberitahu sesuatu kepada orang sekelilingnya.
Sebagai seorang ibu atau bapa
yang baru sahaja melangkah ke dunia keibubapaan, pasti sukar untuk menentukan
apa yang bayi mahukan jika mereka menangis. Samada mereka lapar, sakit, panas
atau sejuk. ia pasti membuatkan anda resah dan bimbang kerana masih tidak
mengetahui akan keperluan dan kemahuan bayi. Namun, lama-kelamaan anda akan
mula mengecam akan corak tangisan bayi anda. Mengenali anak dengan lebih dekat
lagi akan membuatkan anda faham akan keperluannya.
Kenapa bayi menangis ?
Berikut adalah antara
sebab-sebab bayi anda menangis. Ia mungkin dapat membantu anda memujuknya atau
memenuhi keperluannya.
1. Saya lapar!
Bayi anda mungkin lapar dan
inginkan susu. Ada beberapa tanda menunjukkan bahawa bayi ingin minum susu
seperti menghisap jari dan menggerak-gerakkan mulutnya ke kiri dan ke kanan
kerana mencari susu ibunya. Perut bayi bukan seperti perut orang dewasa. Mereka
hanya boleh mengisi susu dalam kuantiti yang sedikit sahaja dalam satu-satu
masa. Ini menyebabkan bayi akan kerap menyusu bagi memenuhi keperluannya.
Berikanlah dia susu selagi dia mahu. Jika dia kenyang dia akan berhenti dan
mungkin akan tertidur.
2. Lampin saya penuh!
Bayi menangis mungkin kerana
lampinnya sudah kotor dan dipenuhi najis. Periksa lampinnya dan segera cuci dan
tukar lampin baru jika anda mendapati lampinya sudah penuh. Bayi akan kembali
selesa jika lampinnya kering.
3. Saya tidak sihat!
Bayi anda mungkin ingin
memberitahu bahawa dia tidak sihat seperti demam, selsema, batuk atau kolik.
Cuba periksa suhu badannya. Jika benar dia tidak sihat, bawalah bayi anda
berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.
4. Saya sangat sejuk/ sangat panas!
Seorang bayi masih tidak mampu
menyesuaikan diri dengan cuaca yang terlalu sejuk atau terlalu panas. Mereka
akan rasa tidak selesa dan akan menunjukkan reaksi seperti menangis bagi
memberitahu orang sekelilingnya. Bedunglah atau selimutlah jika bayi anda
terlalu sejuk atau pakaikanlah dia baju yang nipis jika dia terlalu panas.
5. Saya mahu tidur!
Bayi bukan pelik atau
mengada-ngada. Namun itulah fitrah seorang bayi. Walaupun dia mahu tidur,
kadangkala dia akan menangis untuk memberitahu ibu yang dia mahu tidur. Cuba
baringkan dia, atau dodoikan lembur bayi anda. ada juga bayi tidur ketika
menyusu susu ibunya. Tepuk-tepuk lembut dan alunkan ritma yang harmoni. Jika
benar dia mengantuk, pasti dia akan terlena jua.
6. Saya mahu dipeluk!
Jika bayi anda sudah kenyang
atau lampinnya kering dan dia masih menangis, cuba peluk dan manjainya. Bawa
bayi anda rapat ke badan. Mungkin itu yang dia mahukan!
7. Saya mahu bermain!
Cuba anda bermain dengannya.
Permainan ringan tetapi menghiburkan seperti peek-a-boo, pasti menyeronokkan.
8. Saya mahu berehat!
Bayi anda mungkin mahu
memberitahu anda bahawa dia mahu berehat dan letakkannya di bawah. Dia mungkin
mahu bebaskan kai dan tangannya dari pelukan atau bedungan.
9. Saya mahu selesa!
Jika anda pergi ke tempat baru
atau berjalan-jalan terlalu lama, ini juga akan membuatkan bayi rasa tidak
selesa dan menangis. Dia akan resah jika persekitarannya berbeza dengan keadaan
rumahnya. Cuma hadkan waktu melawat anda ketika ziarah atau berjalan-jalan.
10. Saya tidak tahu apa yang
saya mahu!
Di dalam Islam, kita percaya
bahawa ada makhluk lain yang ghaib yang mungkin akan menganggu bayi.
Perbanyakkanlah membaca al-Qur’an dan zikir bagi mengelakkan gangguan makhluk
halus. Kita percaya bahawa setiap penyakit ada penawarnya dan kita digalakkan
berusaha untuk memberikan kesembuhan.
Selamat mencuba dan sentiasalah
bersabar menghadapi kerenah bayi anda.

No comments:
Post a Comment